Pergi surau pun tak guna

 



Fasa 1: Demang Geram


Demang termenung di serambi. Wajahnya tak ceria seperti biasa. Derwish menjeling, menanti cerita keluar sendiri.


“Ada orang cakap kat aku,” mula Demang, “aku ke surau siang malam pun tetap kena ujian. Belum tentu masuk syurga. Dia kata baik tak payah…”


Derwish angguk perlahan. “Betul juga kata dia.”


Demang terkejut. “Hah?!”


“Uwais Al-Qarni tak pernah jumpa Rasulullah, tapi diiktiraf jadi sahabat. Dijamin syurga. Tapi bukan sebab dia tinggal ibadah. Dia sibuk jaga ibunya. Dia tetap taat, tetap menangis tengah malam.”


Demang tarik nafas. “Aku geram sangat. Terus aku beredar.”


Derwish senyum senget. “Kadang diam pun satu jawapan. Tapi marah tu tandanya kau belum putus harap.”




Fasa 2: Demang kesian


Derwish bersandar. “Tapi Demang… orang tu, apa alasan dia tak nak ke surau? Ada sebab kukuh macam Uwais ke? Atau sebab malas? Sombong? Atau suka tangguh taubat?”


Demang diam. Tak tahu nak jawab.


“Uwais tak ke Madinah sebab jaga mak. Tapi dia tetap sujud, tetap berzikir. Orang yang tegur kau tu, bila kali terakhir dia bangun Subuh berjemaah? Bila dia menangis kerana Tuhan?”


Demang tunduk.


“Ramai guna nama orang soleh untuk halalkan malas sendiri,” ujar Derwish. “Sedangkan orang soleh makin takut neraka, makin malu nak mengaku layak ke syurga.”


Demang angguk perlahan. “Aku dah tak geram… aku jadi kesian pula.”


“Bagus,” kata Derwish. “Jangan tinggal dia. Doakan dia. Kadang kita dihantar Tuhan… bukan untuk menang hujah, tapi jadi jambatan.”


Demang senyum. “Jambatan pun jambatanlah… asal kuat.”


Derwish ketawa kecil. “Tuhan tak suruh jadi kuat. Dia suruh kita tetap jalan.”

Comments

Popular posts from this blog

Nampak sama

Demang kena lagi

Siapa nak baca blog lagi