Kata Derwish bintangpun hilang


Demang duduk bersila di pelantar kayu sambil membelek-belek langit malam.


“Cantik bintang malam ni, Derwish.”


Derwish hanya tersenyum. Pandangannya jauh. Seperti biasa, diamnya lebih banyak daripada katanya.


Demang menyambung,

“Dulu Nabi Ibrahim tengok bintang macam ni juga, kan? Dia fikir… mungkin itu Tuhan.”


Derwish mengangguk perlahan.


“Tapi bila bintang hilang, dia tahu — Tuhan tak mungkin tenggelam.”

Demang terdiam sebentar. Kemudian bersuara lagi, nada makin perlahan:

“Kita hari ni… dah tak tanya macam Nabi Ibrahim.

Tapi peliknya, kita pun belum tentu sembah Tuhan yang sebenar.”


Derwish berpaling. Kali ini dia bersuara.

“Kerana kita dilahirkan dalam agama, bukan mencarinya.”

Lalu dia menunduk dan menyambung,


“Tapi Nabi Muhammad ﷺ tak perlu cari.

Baginda terus menyebut nama Tuhan —

yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Baginda bersyukur atas penciptaan alam.

Tidak menyembah selain Dia.

Tidak meminta pada yang lain.

Dan Baginda berdoa agar ditunjukkan jalan yang lurus…

Bukan jalan orang yang sesat.”


Demang mengangguk-angguk. “Itulah… Surah Al-Fatihah.”

Dia mengangkat tangan ke dada.

“Doa yang aku baca hari-hari… tapi entah berapa kali aku lupa rasa dia.”


Derwish senyum.


“Sekurang-kurangnya 17 kali kita baca…

Tapi belum tentu kita hidup dalamnya.”


Demang tunduk. Suaranya hampir berbisik:


“Kita minta jalan yang lurus, tapi kaki kita masih berbelok.

Kita kata hanya kepada Allah kita sembah dan minta tolong,

tapi hati masih bergantung pada manusia.

Kita baca dengan lidah…

tapi lupa menyambutnya dengan perbuatan.”


Demang memejam mata. Angin menyapa wajahnya.


“Macam baca peta hari-hari… tapi tak pernah melangkah.”


Derwish tersenyum — senyum seorang guru yang tak pernah marah.


“Bila hati tak kenal jalan, bacalah Fatihah bukan sekadar dengan mulut,

tapi dengan kesedaran dan pengharapan.

Kerana yang membaca dengan jiwa,

akan dipimpin walau langkahnya perlahan.”


Angin malam menyapa mereka.

Bintang masih bersinar, tapi Demang tahu — bila pagi, ia akan hilang.

Namun Tuhan…

Tuhan tak pernah hilang.




Nota penulis:

Surah al-Fatihah bukan sekadar pembukaan al-Quran — ia adalah pintu untuk kembali kepada Tuhan. Setiap hari kita lafazkannya, tetapi adakah kita benar-benar menempuh jalan yang kita mohon itu?



Comments

Popular posts from this blog

Nampak sama

Siapa nak baca blog lagi

Bahu Yang Tak Minta Dipicit