Demang dedah rahsia Tun Mahathir 100 tahun

 



🪶  1: Orang Tua Yang Tak Jadi Tua


“Kau bayang, Derwish… orang tua ni lahir tahun 1925. Masa tu Hitler baru nak test suara atas pentas. Jepun pun tengah polish pedang, belum lagi sampai ke Tanah Melayu…”


Demang angkat cawan kopi, tiup sikit.


“Zaman dia lahir, Queen Elizabeth pun tak naik takhta lagi. Stalin tengah galak, Einstein tengah tulis formula pelik-pelik. Dunia belum kenal apa tu Internet… apatah lagi TikTok.”


“Tapi orang tua ni, tak tua. Badan je uzur sikit. Otak dia, kalah budak umur 30. Orang lain umur 60 dah pencen bela cucu. Dia umur 93… naik jadi Perdana Menteri balik!”






🪶  2: Zaman Jepun & Zaman Bulan



“Derwish… masa Jepun mari jajah kita tahun 1941, dia dah jadi pemuda. Bukan budak main guli. Dia tahu apa erti lapar, apa erti takut.”


“Lepas tu 1945 — Indonesia merdeka. 1947 — India pun merdeka. Tahun 1948 — Israel pula ditubuhkan. Dunia beranak satu kuasa haram…”


“Tapi hebatnya, dia sempat tengok manusia jejak kaki ke bulan tahun 1969. Kau bayang, Derwish… dari zaman orang naik kereta lembu, sampai orang naik roket. Orang lain pening kepala, dia siap kata: Kita pun boleh!”






🪶 3: Dunia Goncang, Dia Masih Di Situ



“Tahun 1975, Amerika kalah perang kat Vietnam. Tahun 1977, Elvis mati — bukan sebab perang, tapi sebab dunia terlalu cintakan bintang. Tahun 1979, Shah Iran tumbang. Tahun 1980, John Lennon pun kena peluru.”


Demang menggeleng.


“Dunia ni, Derwish… berubah cepat. Tapi dia tetap ada. Berdiri. Berfikir. Menulis. Buat dasar.”


“Tahun 1989 — Tembok Berlin runtuh. Orang Jerman gembira. Tapi tak lama, Tiananmen berdarah. Dunia ni tak pernah senyap. Tapi dia… tak pernah senyap juga.”




🪶 4: Dari Bintang Ke Jeriji


“Tahun 1991, Derwish… Kesatuan Soviet jatuh. Sebuah negara gergasi berpecah macam kuih goyang kena goncang kuat sangat.”


“Tapi Tun M… dia tak goyang. Malaysia masa tu tak besar, tapi dia suruh kita pandang ke Timur. Belajar disiplin dari Jepun. Hormat ilmu dari Korea.”


Demang ketuk meja, senyum lebar.


“Orang lain tengok Barat, dia suruh kita tengok matahari naik. Sebab dia tahu… kalau asyik ikut ekor orang, kita takkan tahu cara nak berdiri sendiri.”






🪶 5: Dunia Menyanyi, Dia Mencari Arah


“Kita ni, Derwish… kadang lebih sibuk nyanyi lagu barat dari fikir tanah sendiri. Tapi Tun M ni lain.”


“Masa orang sibuk dengan MTV, dia sibuk fikir macam mana nak buat kereta sendiri. Orang gelak — katanya negara cap ayam nak buat Proton.”


Demang angkat jari telunjuk.


“Tapi ingat, ayam kampung pun boleh bertelur emas… kalau kena cara jaga.”


“Dia ajar kita, jangan takut jadi berani. Jangan malu dengan akar sendiri.”






🪶 6: Ulang Siar Sejarah


“Pelik, Derwish. Lepas dia pencen tahun 2003, orang ingat dia akan diam. Tapi tak…”


“Tahun 2018, dia naik balik. Usia 93 tahun. Orang lain cari tongkat. Dia cari kebenaran.”


Demang ketawa kecil.


“Kau bayang, Derwish… dia masuk gelanggang balik lepas 15 tahun berehat. Bukan sebab kuasa, tapi sebab dia tak rela tengok tanah yang dia bajak dulu jadi padang ragut orang tak bertanggungjawab.”


“Dia marah, tapi marah orang bijak. Dia tak maki, tak herdik. Tapi kata-katanya… tajam macam mata parang lama yang diasah.”






🪶  7: Tua Itu Anugerah



“Hari ni, Derwish… 10 Julai 2025. Seratus tahun umur Tun.”


“Orang lain, nama tinggal di batu nisan. Tapi dia… namanya masih berdesing dalam dewan, dalam kelas, dalam sembang mamak.”


Demang termenung sekejap.


“Tun M ni… bukan wali. Dia bukan maksum. Tapi kalau kita kata dia tak berjasa, kita ni samalah macam anak lupa nama bapa.”


Derwish akhirnya bersuara:


“Orang hebat tak perlukan tugu. Cukuplah jika namanya diingati… dalam doa orang yang tahu berterima kasih.”


Demang mengangguk.


“Moga Tun beroleh husnul khatimah. Kalau hidup ni ibarat kitab… semoga bab akhir beliau, ditulis dengan tinta rahmat.”



Syukur pada Allah yang masih meminjamkan Tun Mahathir pada rakyat Malaysia dan penduduk dunia. 


Beliau bukan berada dalam sejarah bahkan beliaulah sejarah itu. 



Coda:

Arwah ayah saya pernah cerita: kata orang kalau nak jumpa Tun, beliau selalu ada di sebuah masjid sekitar 1-2 pagi. Benar, apabila ayah saya ke situ kelihatan Tun sendirian bertafakur. Kata ayah, dalam keadaan ramai orang marah pada beliau ketika itu, tak sepatutnya beliau sorang-sorang walau dalam masjid.


Itulah Tun Mahathir. Kalau dia nak buat sesuatu beliau bukan kesah sangat orang nak buat apa kat dia. 😅



Comments

Popular posts from this blog

Nampak sama

Siapa nak baca blog lagi

Bahu Yang Tak Minta Dipicit